Ciptaan Lawan Evolusi

Oktober 12, 2012 0 Comments

Nhingz, BLOG--Teori evolusi dalam sains moden digambarkan sebagai teori yang menyatakan bahawa manusia berasal daripada haiwan. Namun, sama ada pendukung ciptaan mahupun evolusi sama-sama berpraduga dalam kepercayaannya. Pertanyaannya adalah, praduga manakah yang memiliki kesahihan terbaik dan tidak bertentangan dengan kaedah saintifik?  Dalam kerangka biologi, asal-usul manusia dan alam semesta telah dihuraikan berdasarkan kepada teori evolusi. Ramai cendekiawan timur dan barat yang menerima teori ini sebagai kebenaran saintifik.  Pertentangannya dengan konsep ciptaan yang dipercayai dalam agama boleh dikatakan diabaikan.

Konsep ciptaan dianggap sebagai bahasa iman yang kurang saintifik.  Tetapi ramai juga cendekiawan yang mencuba mendamaikan kedua konsep ini dengan menyatakan, bahawa teori evolusi adalah penjelasan saintifik bagi ciptaan. Namun, benarkah begitu? Apakah bukti yang diajukan oleh pengamal teori evolusi itu benar dan sungguh saintifik? Benarkah pula konsep ciptaan kurang saintifik?

Setiap orang yang ingin mempelajari asal-usul manusia, pasti akan mengemukakan praduga. Ini disebabkan oleh had pengetahuan manusia, dan juga kerana apa yang dipelajari adalah peristiwa masa silam yang dikaji berdasarkan kepada bukti yang diteliti pada masa kini.  Untuk peristiwa yang hanya satu kali terjadi, sehingga datanya tidak dapat diwujudkan semula, penelitian terhadapnya hanya dapat dilakukan secara subjektif. Kesimpulan terbaik yang mampu dibuat adalah dengan merumuskan hipotesis atau model untuk menjelaskan peristiwa yang terjadi itu. Webster menjelaskan bahawa hipotesis atau model adalah: “bukti yang dipertimbangkan untuk menjelaskan fenomena tertentu dan tidak mempunyai bukti kebenaran lainnya yang menjelaskan fenomena itu”.

Dengan kata lain, hipotesis masih merupakan suatu pertimbangan.  Evolusi dan penciptaan, kedua-duanya merupakan suatu model yang tidak dapat dibuktikan. Akan tetapi, kita boleh meneliti kesahihannya dengan membandingkan model masing-masing dengan apa yang diketahui sebagai fakta saintifik.

Pemberatan saya adalah, model yang paling tepat dengan data saintifik sepatutnya diterima dan digunakan sebagai dasar bagi penelitian yang lebih mendalam. Dari sini setiap orang boleh membuat pilihan dan mengambil model mana yang lebih unggul secara saintifik bila dibandingkan dengan model lainnya.  

A.  FAKTA SAMA KESIMPULAN BERBEZA

Fakta yang sama boleh menghasilkan kesimpulan yang berbeza kerana andaian dan dugaan. Bukti saintifik yang sama juga terbentang bagi penganut model penciptaan dan pengamal model evolusi.  Namun demikian, manusia tidak sewajarnya mengabaikan fakta begitu sahaja berdasarkan andaian seseorang dan membenarkan logik atau kesahihan suatu model hanya berdasarkan kepada andaian dan dugaan.  Sesuatu model hendaklah sesuai dan selaras dengan data saintifik dan dapat dipertahankan dalam ujian dan penelitian saintifik.  Pengamal evolusi dengan tegas menyatakan, bahawa alam semesta dengan semua zat dan tenaganya membentuk kehidupan dengan sendirinya.  Dengan perkataan lain, biologi berevolusi melalui seleksi alam tabii. Sebaliknya, penganut penciptaan berpendapat, bahawa ada pengantara luaran yang maha agung. Dengan kata lain, masing-masing ingin meninjau dunia menurut dugaan tertentu.  Saya mencadangkan agar, seseorang yang ingin menonjolkan prinsip yang masuk akal dalam disiplin pengetahuan, hendaklah berhati-hati dalam memisahkan antara apa yang diketahui sebagai fakta dengan apa yang dipercayai sebagai filosofi.

Penganut penciptaan juga sewajarnya dapat membezakan antara Alkitab dan Alquran sebagai wahyu dengan tradisi keagamaan. Sama ada penganut penciptaan mahupun pengamal evolusi sama-sama berpraduga dalam kepercayaannya. Pertanyaannya adalah: dugaan manakah yang memiliki kesahihan terbaik dan tidak bertentangan dengan semangat saintifik?



Model penciptaan, secara ringkas mencakupi bukti saintifik bagi penciptaan semua bentuk kehidupan yang beranekaragam dan kompleks secara mendadak. Ada kesenjangan sistematik yang bertahan di antara bentuk kehidupan yang berbeza tersebut. Variasi genetik juga terdapat pada bentuk kehidupan semenjak waktu penciptaan.  Model evolusi, secara ringkas mencakupi bukti saintifik bagi kemunculan semua bentuk kehidupan secara bertahap semenjak lima bilion tahun yang lalu. Menurut evolusi, kehidupan berkembang dari zat kimia, berubah menjadi ameba, hingga akhirnya menjadi beranekaragam kehidupan yang kompleks seperti yang ada sekarang ini.

B.  DARWIN MELANGKAH TERLALU JAUH

Pendukung evolusi menganut hipotesis ameba menjadi manusia atau molekul menjadi manusia, dan mekanisma perubahannya melalui seleksi alam tabii. Hipotesis ini sebenarnya diambil dari gagasan evolusi mikro. Gagasan evolusi mikro pertama kali dikembangkan oleh George Mendel bagi menunjukkan variasi antara spesies yang berdasarkan mekanisma genetik. Teori Mendel antara lain menunjukkan bahawa keanekaragaman anjing, bermula dari jenis Saint Bernard sehinggalah kepada jenis Cihuahua.

Dan konsep evolusi mikro ini diterima secara meluas sehingga sekarang. Fenomena demikian juga yang ditemui oleh Charles Darwin pada empat belas spesies burung Finch di Kepulauan Galapagoss, yang sebenarnya berasal dari nenek moyang yang sama.  Namun, Darwin melangkah terlalu jauh dari evolusi mikro ini. Dan para saintis evolusi, meramalkan kemungkinan terjadinya evolusi makro untuk menjelaskan asal-usul kehidupan. Konsep evolusi mikro ini diterapkan kepada semua bentuk kehidupan: “bahawa semuanya berasal dari sumber yang samaâ€. Demikianlah, manusia dijelaskan sebagai evolusi dari prima, mamalia dan unggas hasil evolusi dari reptilia, reptilia berasal dari ameba dan seterusnya. Evolusi mikro jelas mengandungi batasannya yang sendiri, dan gagasan bahawa kehidupan yang kompleks sekarang ini sebagai hasil proses seleksi alam tabii masih merupakan dugaan.  Secara saintifik, konsep evolusi makro sebenarnya sukar dipertahankan. Sekalipun demikian, konsep bahawa evolusi itu merupakan suatu fakta masih dipertahankan. Para saintis evolusi cenderung untuk berusaha menjelaskan mekanisma seleksi alam tabii bagi membuktikan kehidupan berasal dari satu sumber yang sama.

C.   ADA PENCIPTA YANG MAHA BIJAKSANA

Sebaliknya dengan model ciptaan. Model ini secara tidak langsung menyatakan, kehidupan diciptakan dengan suatu maksud dan peraturan yang tertentu. Ada kekuatan dari luar, ada perancang yang maha bijaksana, yang maha dinamik dan komprehensif, yang menciptakan kehidupan di alam semesta ini.

Keanekaragaman kehidupan yang ada tidak mungkin berasal dari proses seleksi alam tabii. Pasti ada campur tangan dari luar. Penciptaan, dengan demikian, merupakan suatu proses maha perkasa, diarahkan dari luar dan pada semua bahagian adalah sempurna.  Seluruh dan pelbagai jenis kehidupan yang berasal dari rangkaian evolusi mikro, termasuklah organisma yang bersel tunggal, adalah diciptakan dengan sempurna sejak awal mulanya. Allah menciptakan pelbagai jenis organisma, bukan hanya satu nenek moyang.  Allah pada mulanya menciptakan sepasang manusia dewasa. Sekarang kita mengenal pelbagai bangsa manusia dari sepasang manusia yang pertama ini. Kita juga dapat melihat variasi serupa pelbagai jenis haiwan dan tumbuhan.

Ini menunjukkan terjadinya evolusi mikro dalam batas satu jenis makhluk hidup, bukannya evolusi makro antara jenis makhluk hidup.  Mutasi juga tidak pernah mengubah bentuk kehidupan secara drastik atau mendadak; makhluk yang bermutasi tidak pernah berubah menjadi makhluk jenis lain.

D.  KEBEBASAN BERFIKIR

Berdasarkan kepada penjelasan evolusi mikro dan makro tersebut, jelaslah bahawa teori penciptaan secara saintifik tidak bertentangan. Sebaliknya, teori evolusi mengambil kesimpulan dari fakta khusus dan menjadikannya fakta. Dengan ini saya mencadangkan bahawa, walaupun evolusi merupakan bahasa saintifik dan penciptaan merupakan bahasa iman, namun kerangka keduanya jalan masih terbuka untuk ditinjau semula secara objektif dalam usaha mencari kebenaran antara pandangan yang bertentangan itu.

E.   DIALEKTIKA SAINS DAN AGAMA

Sejak falsafah mula menemui ranah kelahiran formatnya di Yunani yang dimulakan oleh Thales, dan kemudian dilanjutkan oleh filosofi besar Plato, Aristoteles dan Plotinus, majoriti pemikir besar semasa yang ingin menyelami hakikat alam semesta, Tuhan dan kebenaran, sebagai subjek kepada pertanyaan yang terus-menerus muncul tanpa jawapan yang pasti. Sekarang, agama masih diyakini sebagai sumber rujukan fundamental atas segala pertanyaan, dalam pengertian antara penggiat falsafah yang melahirkan sains masih boleh berjalan secara selaras dan harmoni dengan agama sebagaimana yang pernah berlaku di zaman kecemerlangan Islam.

Namun, seiring dengan perkembangan pemikiran manusia serta kepelbagaian kemajuan teknologi yang dihasilkan, maka terjadilah lebuhraya perpisahan antara agama sebagai konstruk dogma dan sains sebagai hasil pemikiran manusia yang pada akhirnya seolah-olah berpotensi untuk menggantikan wahyu agama sebagai autoriti legitimasi kebenaran yang universal.   Bermula dengan Rene Descartes yang meninggalkan jejak kaedah baru dalam pencarian kebenaran yang berasaskan unsur subjektiviti, iaitu manusia, yang pada akhirnya telah melahirkan dualisme dalam segala bentuk kehidupan. Alam semesta dianggap hanya sebagai sebuah jentera yang boleh diperalatkan semahu-mahunya. Hal inilah yang telah menjadikan sikap kehartaan semakin dominan dalam kehidupan manusia yang bermula dalam bidang sains dan budaya hatta agama.  Dalam bidang pengetahuan pula, sikap kebendaan yang diyakini oleh aliran kehartaan khususnya ketika Charles Darwin menawarkan teori seleksi alam tabii yang melahirkan anggapan bahawa segala bentuk kehidupan berevolusi dari peringkat yang paling ringkas menjadi kompleks melalui sebuah pertarungan alam tabii di mana yang paling kuat sahaja yang akan bertahan, sedangkan yang lemah akan dengan sendirinya menjadi punah.  
Menurut prinsip teori evolusi mereka percaya bahawa gen yang bermutasi secara kebetulan pada akhirnya akan melahirkan wujud baru yang semakin sempurna kerana telah melalui proses seleksi alam tabii, dan akan terus berevolusi sehingga kepada suatu bentuk yang belum dapat dibayangkan. Dengan pengertian lain, proses evolusi seakan tanpa tujuan kerana wujud begitu sahaja. Manakala peranan Tuhan sebagai pencipta akan menjadi tiada kerana segala sesuatu wujud dengan kebetulan sahaja.

Ketika rejim teori Graviti Newton mula melancarkan serangan ke atas kemunculan teori Relativiti Einstein, yang menyemai paradigma baru alam fizik, telah melahirkan banyak wira teori baru yang berkaitan dengan penciptaan alam semesta, antaranya ialah teori kosmologi kuantum yang dipelopori oleh Werner Heinsenberg yang mendakwa, bahawa peristiwa fizik yang wujud merupakan kebetulan tanpa sebab, kerana pada skala yang terkecil semua yang wujud adalah tidak pasti.  Dengan ungkapan lain, alam semesta muncul dari ketiadaan kepada kewujudan. Dan ia terus-menerus berusaha memberi pandangan baru bagi memahami kewujudan maha pencipta melalui kaedah saintifik bahawa tidak wujud pertentangan antara sains dan agama sebagai dua sumber kebenaran. 

Nhingzhdt

Saya adalah seorang individu yang sedang berusaha mengejar tujuan untuk menjadi sukses, dan berharap hal itu segera terealisasi. Aktivitas saya sehari-hari sebagai seorang guru mata pelajaran IPA, saya mempunyai dedikasi tinggi terhadap dunia pendidikan dan semoga menjadi teladan bagi murid saya.

0 comments: